26 June 2014

"Tidak bercampur masyarakat" - Bukan sebab untuk kita abaikan dia

Assalamualaikum...

Tertarik dengan artikel yang disiarkan dalam ruang Kolumnis - Sinar Harian Online, REMAJA OKU : Kita buta hati. Dalam hal ini, semestinya kita terus-terusan menyalahkan ibunya tapi disudut yang berbeza sebenarnya kita juga bertanggungjawab. Bab kata Didiey di dalam entrinya -Kadang-kadang sikap kepohci itu perlu. Jaga tepi kain bukan dalam kain.

Bila dah jadi kes ini, banyak orang, salahkan ibunya yang tak bercampur masyarakatlah, inilah..itulah.. tapi, kita tak sedar, kita pun sebenarnya tak pernah peduli tentang mereka. Kita yang tak tanya perihal mereka, tak kan tiba-tiba mereka nak mengadu nasib pula. Bukan semua orang faham masalah kita kan? Jadi tak mudah kita nak menceritakan masalah kita pada orang lain.

Jadi disitu pihak berwajib harus memainkan peranan. Jangan hanya ambil "tahu perihal dalam kain orang" sahaja.

Disini saya kongsikan artikelnya untuk kita fahami apa tanggungjawab kita bersama dan jangan terlalu kerap menunding jari pada orang lain. Kita lihat diri kita sendiri.
TIDAK siapa dapat membayangkan apa yang akan terjadi kepada Muhammad Firdaus Dullah sekiranya dia tidak ditemui oleh sepasukan anggota Jabatan Imigresen dalam operasi memburu pendatang asing tanpa izin, Sabtu lalu. 
Remaja berusia 15 tahun itu adalah warganegara sah, bukan pendatang asing. Malangnya dia orang kurang upaya (OKU), sebab itu nasibnya jauh lebih daif daripada pendatang haram yang diburu. 
Seperti yang dilaporkan media, ketika ditemui di Flat Taman Semarak, Nilai, Negeri Sembilan keadaan insan malang ini betul-betul seperti mayat hidup. Tubuhnya kurus kering, kotor, hanya memakai baju T yang sudah koyak dan reput serta berlumuran najis. Dia kelaparan. 
Hanya setelah berita dan gambarnya – dalam bilik seperti reban ayam yang terlalu kotor – disiarkan di muka hadapan akhbar, baharulah semua pihak membuka mata, sambil menyatakan perasaan kesal dan terkejut. 
Segera memberi reaksi ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang meluahkan simpati sambil menegaskan pihaknya menyediakan pelbagai jenis saluran bantuan untuk semua golongan termasuk OKU.
Penduduk di flat berkenaan juga terkejut dan mengakui tidak pernah mengetahui kisah remaja malang itu. Menurut mereka ibu mangsa tidak pernah bergaul dengan penduduk setempat, dan hanya dapat dilihat pada awal pagi ketika keluar kerja dan ketika pulang lewat malam setiap hari. 
Malah seorang penduduk mendakwa pernah melihat remaja tersebut dibawa oleh ibunya di sekitar flat berkenaan ketika usianya antara lima hingga tujuh tahun, tetapi sejak beberapa tahun lalu, remaja itu tidak lagi kelihatan. 
Ketika rencana ini ditulis ibu mangsa, wanita berusia 40 tahun berasal dari Sabah, masih direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Tentu sekali ibu berkenaan patut disiasat kerana mengabaikan anaknya dalam keadaan yang begitu sadis. Mudah-mudahan siasatan polis akan mengenal pasti masalah sebenar bagaimana seorang ibu tergamak melakukan begitu terhadap anak kandungnya. 
Bagi kebanyakan orang pula mudah sekali menuduh ibu berkenaan sebagai kejam, zalim, tidak berhati perut, tidak bertanggungjawab, dan lain-lain cemuhan. 
Tetapi jangan salahkan ibunya sahaja. Ke mana pergi ayah kandung remaja OKU berkenaan (sebelum meninggal dunia)? Sejak bercerai dengan isterinya 14 tahun lalu apakah pernah dia menjenguk anaknya? Berapa banyak nafkah bulanan yang diberi untuk anak malang itu? Atau, apakah langsung tidak memberi nafkah? 
Sejauh mana upaya seorang wanita biasa – tanpa kedudukan, tanpa pendapatan mewah, tanpa kabel orang ternama – untuk menyara seorang anak OKU, bukan setahun tetapi selama 15 tahun. 
Memang wanita tersebut berkahwin baharu, tetapi bukan dengan seorang jutawan karpet, tidak juga dengan tauke lombong. Boleh jadi wanita berkenaan sentiasa dalam keadaan kesempitan, dan sudah putus asa. 
Betapa pula halnya dengan penduduk setempat termasuk jiran-jiran. Apakah langsung tidak ada keprihatinan terhadap sesama insan? Mungkin benar wanita tersebut tidak bercampur masyarakat. Tetapi itu bukan alasan untuk masyarakat tidak mengambil berat mengenai kehidupannya? Anak OKU yang biasa dilihat ketika berusia tujuh tahun, tiba-tiba hilang dari pandangan, dan tidak seorang pun mempunyai perasaan untuk bertanya kepada ibunya. Di mana nilai kemanusiaan kita?
Di mana Tok Ketua, JKK, Tok Imam dan lain-lain rakan kejiranan? Apakah semuanya pekak, buta sehingga tidak mengetahui – atau sengaja tidak mahu mengambil tahu – perkara menyayat itu terjadi?
Di mana wakil rakyat, pemimpin parti, pemimpin masyarakat? Apakah masing-masing terlalu sibuk dengan urusan untuk membesarkan tembolok sendiri, sehingga tidak nampak – atau sengaja buat-buat tidak nampak – masalah dan derita rakyat marhaen? 
Sebenarnya Firdaus bukan kes terpencil. Di luar sana ada banyak lagi insan senasib OKU ini yang hidup melarat. Ada yang berpuluh kali memohon bantuan daripada pihak berkenaan, tetapi ditolak dengan pelbagai alasan, atau tidak dilayan langsung. Terlalu banyak kerenah birokrasi. 
Bagi sesetengah orang susah sangat untuk mendapat bantuan bulanan walaupun tidak sampai RM250. Tetapi bagi sesetengah orang lain pula, mudah sangat mendapat pinjaman hingga RM250 juta, walaupun belum tentu pinjaman itu dapat dilunaskan! - ABDUL JALIL ALI-

5 comments

June 26, 2014 at 3:43 PM

Kelibat adik tu yg betahun tak kelihatan lngsung jiran tak bertanya kabarnya kan ..kenapa ye ?

June 26, 2014 at 3:53 PM

mmg betul apa yg ditulis dalam artikel tu. bagi didiey, kalau mak dia tak bercampur dgn masyarakat, jiran dan org sekeliling tetap kena pantau.yg peliknya, jiran2 mengaku terdengar suara budak menangis malam2, tapi masih diabaikan?? satu sikap yg tak boleh diterima.

June 26, 2014 at 4:19 PM

@maqnie nurseri Kan kak..pelik..Ya betul..mungkin malas nak sibuk hal orang lain. Tapi apa salahnya bertanya khabar sekali sekala, terutama tentang adik Firdaus ini.

June 26, 2014 at 4:23 PM

@cik didiey Betul..saya pun ada baca berita yang jiran dia ada dengar..dan nampak kalau tak silap..budak2 lelaki lepas main bola lalu depan rumah dia. Ada nampak adik Firdaus ini duduk dekat tingkap sambil menangis. Bukan nak sibuk hal orang kan didiey, tapi sekurang-kurangnya apa salahnya kalau kita sebagai jiran mulakan dahulu..bertegur sapa, bertanya khabar. Bukan tahu nak jaga dalam kain je kan.

June 27, 2014 at 1:56 AM

kesian tgk naseb adim firdaus nih huhuu..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Design by ! AINI ZAKARIA © 2014| Resolution: 1280x800px | Best View: Google Chrome