28 June 2014

Bersimpati dengan Pn.Lola?

Assalamualaikum...

Tertarik untuk saya kongsikan pendapat dari Prof Dr. Rozieta Shaary mengenai Isu Remaja OKU yang dikurung. Baca dulu dan fahamilah dengan jelas.

---------------------------------

Ibu telah diminta untuk mengulas mengenai berita ini oleh TV Al Hijrah.


TV AL Hijrah :

“Salam Ibu. Minta komen Ibu berkenaan kejadian tersebut. Tergamak seorang ibu sanggup meninggalkan anak yang OKU dalam keadaan macam tu. Kenapa terjadi perkara sedemikian?”

Bila Shahrul bertanya bagaimana perasaan Ibu bila mengetahui berita itu, Ibu menjawab dengan sebak di hati, bahawa pertama Ibu berasa sangat sedih akan melihat keadaan Firdaus. Hati Ibu berasa sangat kasihan akannya. Dan memang prioriti kita adalah untuk membantu Firdaus dan menempatkannya di bawah jagaan mereka yang prihatin. Alhamdulillah, JKM telah mengambil langkah itu. Terima kasih, JKM dan semua yang terlibat membantu Firdaus.

Kemudian, Ibu menyatakan bahawa hati Ibu juga kasihan kepada si ibu itu; terlintas difikiran Ibu ini, apalah yang telah dihadapinya sehingga dia boleh melakukan perbuatan seperti itu. Di manakan suaminya? Kaum keluarganya? Adakah dia sebatang kara sehingga perlu melalui keadaan ini tanpa sokongan dan bantuan kaum keluarga?

Ya, perbuatannya yang nampak kejam. Dalam masa yang sama, jika kita menghantarkan tenaga benci dan marah sahaja kepadanya, ini tidak memperbaiki keadaan ini. Memang, ibu itu perlu menerima hukuman SEKIRANYA didapati bersalah. Dalam masa yang sama, biarlah didalam hukuman itu dimuatkan juga terapi untuk memulihkan dia kembali agar boleh kembali ke pangkal jalan.

Seorang anak lahir dengan hati penuh kasih-sayang kerana anak datang dari syurga. Bagaimana hati yang penuh kasih-sayang ini berakhir dengan hati yang tidak berperikemanusiaan? Apakah yang berlaku kepada empunya hati ini? Kita berusahalah memahami dahulu.

Marilah anak-anak Ibu semua, kita jangan terus mengutuk dan mengherdik ibu ini. Mari kita siasat dulu apakah punca yang menjadi dia berkelakuan begitu dan apakah yang boleh kita pelajari.

Tuhan menjadikan peristiwa di dalam hidup kita untuk kita belajar darinya. Jika kita menyangka semua itu tiada kaitan dengan kita, itu adalah salah. Jika ia tiada kaitan dengan kita, maka kita tidak akan mengetahui akan peristiwa itu. Ada mesej yang Tuhan mahu kita pelajari dan Dia memilih kita mempelajarinya untuk kebaikan kita.

Suatu hari, beberapa tahun yang lepas, anak Ibu yang baru bekerja pada masa itu balik dan terus meminta Ibu ke satu sudut jauh dari orang lain. Dia memberitahu Ibu bahawa Bosnya baru meninggal dunia akibat membunuh diri. Dia memberitahu, orang menjumpai mayatnya setelah 2 hari dia tidak kelihatan.

Rupa-rupanya, bosnya itu datang ke Malaysia kerana dipencilkan oleh keluarga. Dia seperti tidak diterima keluarga lagi. Kenapa? Kami tidaklah menyelidik pula. Lama dia berkelana di Malaysia ini, cuba membina bisnes demi bisnes tetapi tidak berjaya. Akhirnya, dia mengambil nyawanya. Tentu kerana tekanan jiwa yang amat besar.

Disebabkan tekanan jiwa, seorang yang waras,boleh mengambil tindakan yang tidak waras.

Ibu belajar banyak dari peristiwa itu. Salah satu daripadanya ialah untuk tidak cepat menuduh dan menghakimi sesaorang. Malah perlu melihat dan memahami mengapakah sesaorang itu bertindak diluar tindakan seorang manusia. Dan berusaha mencari jalan membantu orang itu kembali ke pangkal jalan. "Berpesan dengan kebenaran, berpesan dengan kesabaran." -(surah Al-Asr ayat 4-5)

Bila kita bersimpati dengan ibu yang melakukan kesilapan itu, itu TIDAK bermakna kita bersetuju dengan buruknya perbuatan yang kita nampak itu. Kita TETAP tidak bersimpati dengan perbuatan yang salah. Yang kita bersimpati ialah apakah yang melanda jiwanya, sehingga dia melakukan perkara begitu. Bersimpati supaya kita boleh membawa dia kembali kepada hati yang insaf dan penuh kasih-sayang. Semoga bila dia pulih, dia boleh bertaubat dan mungkin boleh menebus dosanya dengan anaknya itu.

Oleh kerana kita juga tidak tahu sebenar akan apa yang dilalui oleh si ibu itu dalam menjaga anaknya yang oku, eloklah kita menahan diri dari terus menghina. Satu perkara yang pasti, kita tidak mengetahui semua perkara. Oleh itu, berusahalah untuk melihat dari banyak sudut sebelum kita mengatakan melontarkan penghinaan. Bila sudah benar-benar pasti dan jelas, sampaikanlah dengan niat untuk membetulkan keadaan dan cara yang kita guna juga perlu dengan bijak dan berhemah. Itulah yang dinamakan berakhlak mulia.

Dua kebencian iaitu nampak ibu bencikan anak, masyarakat bencikan ibu itu tidak boleh membawa kasih-sayang dan menamatkan penderitaan pada diri dan masyarakat. Tapi sebuah kasih-sayang boleh menamatkan satu kebencian yang boleh menjadi punca memakan masyarakat dan dunia.

Semoga Allah memelihara hati kita dan menempatkan rahmahnya dan kasih-sayang ke dalamnya.

(Penulisan ini adalah dari Ibu (Prof Dr. Rozieta Shaary) dan Ibu mengizinkan anda berkongsi dengan berintegriti, sekiranya anda mendapati ianya menambah nilai kepada anda dan ramai orang).

Salam Kasih, Ibu Rose


3 comments

June 28, 2014 at 4:39 PM

betul jugak kan..mmg perbuatn dia slh, tpi msti ada sebab smpai dia snggup buat mcm tu..salam ramadhan..

June 29, 2014 at 12:46 AM

Hmm.. kita tak boleh tuduh orang melulu tanpa kita ketahui sbbnya. mungkin ibu si firdaus tuh ada sebab tertentu-tertentu kot? Thanks sharing, ad byk info dn pengajaran yg Aisyah dpt dri sini :)

June 30, 2014 at 2:33 PM

apa yg berlaku ada iktibar yg blh diambil. teruskan berdoa demi adik firdaus & ibunya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Design by ! AINI ZAKARIA © 2014| Resolution: 1280x800px | Best View: Google Chrome